IPT perlu terap elemen keusahawanan (Sumber: Berita Harian 2010/03/18)

SHAH ALAM: Elemen keusahawanan yang diterapkan dalam setiap program pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) memberi gambaran jelas kepada pelajar mengenai bidang itu dan mampu dioptimumkan untuk aktiviti lebih menguntungkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata memasukkan elemen berkenaan dalam pengajian adalah nilai ditambah yang perlu direbut supaya mereka berpengetahuan dan mampu mencipta peluang pekerjaan sebaik menamatkan pengajian.

Beliau berkata, IPT tidak perlu ada kursus baru untuk tujuan itu, sebaliknya dengan hanya memasukkan elemen keusahawanan, ia dapat meningkatkan pengetahuan pelajar selain merapatkan jurang antara akademik dan industri. “Kita mahu pelajar bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik kerana tuntutan industri ini memerlukan graduan lebih berdaya saing serta mampu mengoptimumkan keupayaan menjadi usahawan berjaya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan, Ekspo Kerjaya (Cairex) HEP 2010 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Majikan sekarang kata Mohamed Khaled tidak melihat pencapaian akademik graduan semata-mata, kemampuan mereka berdikari menjadi nilai ditambah kepada syarikat.

Katanya, graduan perlu sedia berhadapan cabaran dan sedia menerima perubahan mengikut kehendak pasaran.
“Elemen seperti keusahawanan, kemahiran berkomunikasi, keupayaan berfikir secara kritis, kemampuan menyelesaikan masalah, keserasian kerja berpasukan, semangat kerja berorganisasi perlu diterapkan melalui program akademik dan kokurikulum,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, usaha UiTM yang akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Keusahawan dalam tempoh terdekat membantu matlamat kerajaan melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran tinggi melalui penerapan nilai keusahawanan.

“Walaupun kita sedia maklum, bukan semua graduan akan menjadi usahawan, namun nilai keusahawanan seperti mempunyai daya saing yang tinggi dan bersedia menghadapi risiko boleh meningkatkan keupayaan mereka untuk lebih berdaya saing,” katanya.

PM puji kejayaan Qi-Meritus di GP2

Sumber: Berita Harian (2010/03/17)

PASUKAN Malaysia, Qi-MeritusMahara.com mendapat penghargaan tinggi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memuji kejayaan mereka muncul pasukan Asia pertama memenangi perlumbaan GP2.

“Saya ucapkan tahniah dan amat berbangga dengan kejayaan pasukan tempatan ini di GP2 - kejohanan dalam siri pembangunan Formula Satu (F1),” kata Najib.

“Kemenangan Meritus GP dan penaja tempatannya, Questnet, pada Kejohanan Asia GP2 di GP Bahrain, membuktikan kemampuan teknikal serta profesionalisme jurutera negara.” Pasukan tempatan yang sudah merangkul 34 kejuaraan antarabangsa dalam tempoh 13 tahun, menduduki tempat kedua dalam senarai pemandu menerusi Luca Filippi (gambar) selepas pelumba Itali itu memenangi Grand Prix Bahrain, Sabtu lalu. Dalam kedudukan pengeluar, Meritus GP menduduki tangga keempat, pada saingan yang membabitkan 12 pasukan berpangkalan di Eropah.

Pengarah Urusannya, Firhat Mokhzani berkata, dia terharu dengan kata-kata perangsang pemimpin tertinggi negara itu dan berharap dapat memberi semangat kepada pasukan dalam persediaan berdepan cabaran di Eropah tahun depan.

(Berita Harian 16/03/2010)

QI-MeritusMahara.com mampu lakar musim lebih gemilang


2010/03/16

PASUKAN Malaysia QI-MeritusMahara.com mampu melakar musim yang lebih gemilang pada masa depan, selepas melakar kemenangan pertama dalam GP2 Asia di Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) selain menduduki tempat keempat keseluruhan bagi musim 2009-2010.

Pengarah Urusannya, Firhat Mokhzani, berkata mencipta sejarah menjadi pasukan Asia pertama memenangi GP2 apabila Luca Filippi melintasi garis penamat dalam masa 1 jam 6:15.383 saat, Sabtu lalu dan menduduki tempat kedua senarai pemandu keseluruhan.

Luca menamatkan musim dengan 29 mata selepas meraih satu gelaran juara dan dua podium di tempat kedua. Meritus turut menamatkan perlumbaan di tempat keempat keseluruhan dalam senarai pengeluar dengan 34 mata meskipun bersaing dengan 12 lagi pasukan Eropah lain. Ini adalah kali pertama pemandu Meritus menamatkan saingan dalam kelompok lima teratas dalam GP2 Asia. Pencapaian terbaik adalah menerusi Hiroki Yoshimoto yang menamatkan saingan di tempat kesembilan selepas mengumpul 14 pada pada musim 2007/2008.

“Ia adalah kemenangan bersejarah buat negara dan pencapaian hebat buat pasukan. Kemenangan dalam saingan kelas dunia ini dianggap satu penghormatan buat semua dan membuktikan kesungguhan krew, nyata membuahkan hasil,” kata Firhat
Sumber: www.bharian.com.my [15 Mac 2010]

QI-MeritusMahara.com raih tempat keempat GP2 Bahrain


2010/03/15

MALAYSIAQI-MeritusMahara.com menamatkan cabaran Grand Prix kedua (GP2) Siri Asia 2009-2010 di tempat keempat apabila pemandu muda Amerika Syarikat, Alexander Rossi memberi dua mata selepas mengakhiri perlumbaan kedua di Sirkit Antarabangsa Bahrain (BIC) di petak kelima, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan satu-satunya pasukan Asia pada siri terbabit menutup perlumbaan dengan 34 mata untuk berada di belakang iSport International (73 mata), Arden (38 mata) dan DPR (35 mata).

Ia adalah kutipan mata terbaik pasukan yang mengakhiri saingan dengan 18 dan sembilan mata pada aksi dua musim lalu untuk menduduki tempat kesembilan dan 10 dalam carta kedudukan keseluruhan. Sekali lagi, Duta Malaysia ke Bahrain, Datuk Syed Sultan Idris menyokong pasukan ke garisan permulaan, yang menyaksikan lapan pemandu terbaik itu memulakan saingan dalam posisi terbalik. Luca Filippi, yang menghadiahkan kemenangan pertama GP2 kepada pasukan kelmarin, bermula di petak lapan manakala Rossi pula 11.

Mereka meraih posisi pada awal perlumbaan dengan Filippi mara ke kedudukan keempat sehingga Davide Valsecchi memintasnya dan Rossi muncul di belakangnya untuk tempat keenam.

Rossi berkata: “Saya sangat gembira mengakhiri saingan dalam jumlah mata bagi pasukan dan meraih 12 mata musim ini.”

Saya bermula hebat kali ini dan dari petak 11, saya dapat posisi baik. Kemudian, saya dihalang di belakang Valsecchi dan Alvaro Parente. Tetapi saya berusaha keras dan cuba mengejar masa terbaik. Sehingga akhirnya, saya agak terkeluar dari trek, tetapi bernasib baik meneruskan sehingga pusingan 3 dan tidak kehilangan posisi.”
Filippi, yang tamat di tempat kedua dalam Kejuaraan Pemandu dengan 29 mata, berkata: “Selepas kemenangan semalam, saya tidak gembira tamat di tempat ketujuh.

KEPUTUSAN
Perlumbaan Kedua

1 Giacomo Ricci (DPR) 43:47.74s, 2 Sam Bird (Art) + 5.369 seconds, 3 Alvaro Parent (Coloni) + 9.585 seconds

Kejuaraan Pasukan
1 iSport 73, 2 Arden 38, 3 DPR 35, 4 MalaysiaQI-MeritusMahara.com 34, 5 Art GP 20

Kejuaraan Pemandu
1 Davide Valsecchi (iSport) 56, 2 Luca Filippi (MalaysiaQI-MeritusMahara.com) 29, 3 Giacomo Ricci (DPR) 28, 4 Charles Pic (Arden) 19, 5 Javier Villa (Arden) 19
Powered By Blogger