IPT perlu terap elemen keusahawanan (Sumber: Berita Harian 2010/03/18)

SHAH ALAM: Elemen keusahawanan yang diterapkan dalam setiap program pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) memberi gambaran jelas kepada pelajar mengenai bidang itu dan mampu dioptimumkan untuk aktiviti lebih menguntungkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata memasukkan elemen berkenaan dalam pengajian adalah nilai ditambah yang perlu direbut supaya mereka berpengetahuan dan mampu mencipta peluang pekerjaan sebaik menamatkan pengajian.

Beliau berkata, IPT tidak perlu ada kursus baru untuk tujuan itu, sebaliknya dengan hanya memasukkan elemen keusahawanan, ia dapat meningkatkan pengetahuan pelajar selain merapatkan jurang antara akademik dan industri. “Kita mahu pelajar bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik kerana tuntutan industri ini memerlukan graduan lebih berdaya saing serta mampu mengoptimumkan keupayaan menjadi usahawan berjaya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan, Ekspo Kerjaya (Cairex) HEP 2010 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Majikan sekarang kata Mohamed Khaled tidak melihat pencapaian akademik graduan semata-mata, kemampuan mereka berdikari menjadi nilai ditambah kepada syarikat.

Katanya, graduan perlu sedia berhadapan cabaran dan sedia menerima perubahan mengikut kehendak pasaran.
“Elemen seperti keusahawanan, kemahiran berkomunikasi, keupayaan berfikir secara kritis, kemampuan menyelesaikan masalah, keserasian kerja berpasukan, semangat kerja berorganisasi perlu diterapkan melalui program akademik dan kokurikulum,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, usaha UiTM yang akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Keusahawan dalam tempoh terdekat membantu matlamat kerajaan melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran tinggi melalui penerapan nilai keusahawanan.

“Walaupun kita sedia maklum, bukan semua graduan akan menjadi usahawan, namun nilai keusahawanan seperti mempunyai daya saing yang tinggi dan bersedia menghadapi risiko boleh meningkatkan keupayaan mereka untuk lebih berdaya saing,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Powered By Blogger